Media Centre

FADILLAH YUSOF SEMPURNAKAN MAJLIS PELANCARAN STESEN JANA KUASA TURBIN GAS KITARAN TERBUKA 90MW NUR POWER SDN BHD DI TAMAN TEKNOLOGI TINGGI KULIM


MAJLIS TERSEBUT TURUT MENYAKSIKAN PERTUKARAN DOKUMEN PERJANJIAN ANTARA NUR POWER DAN UEM LESTRA

KULIM, KEDAH, 30 Ogos 2024 - YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), hari ini telah menyempurnakan upacara Majlis Pelancaran Stesen Jana Kuasa Turbin Gas Kitaran Terbuka 90MW, NUR Power Sdn Bhd di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), di Kedah.

“Pelaburan berskala besar dan berteknologi tinggi seperti Infineon Technologies AG misalnya, hanya dapat direalisasikan dengan adanya bekalan tenaga yang konsisten, stabil dan boleh dipercayai untuk menyokong operasi mereka. Oleh itu, infrastruktur tenaga yang dibekalkan oleh NUR Power telah membolehkan operasi berjalan tanpa gangguan dan memastikan pengeluaran yang lebih cekap” katanya demikian di dalam ucapan pelancaran pada hari ini.

Hadir sama di dalam majlis ini adalah, Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor dan YB. Dr. Haim Hilman Bin Abdullah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Pegerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi & Inovasi).

NUR Power yang merupakan sebuah syarikat Utiliti Tenaga Bebas (IPU) pertama negara yang telah diberikan hak menyediakan perkhidmatan di bidang penjanaan, grid dan pembahagian tenaga elektrik eksklusif di KHTP. Terletak di hab lanskap teknologi Asia, KHTP pula berperanan sebagai taman berteknologi tinggi bersepadu yang terkemuka di Malaysia, yang memupuk inovasi dalam pembuatan berintensifkan modal, teknologi termaju dan perintis kepada usaha penyelidikan dan pembangunan.

Melalui turbin gas kitaran terbuka ini, NUR akan menjana kuasa sehingga 90MW, tambahan kepada keupayaan penjanaan sedia ada oleh NUR iaitu sebanyak 220MW. KHTP merekodkan permintaan elektrik yang semakin meningkat sejak tahun 2022, terutamanya oleh permintaan semikonduktor dan solar yang tinggi di seluruh dunia yang menyebabkan beberapa pelanggan sedia ada meningkatkan pengeluaran. Di samping itu, terdapat juga pelanggan sedia ada yang menaik taraf kemudahan sambungan bekalan mereka (daripada sambungan 33kV kepada sambungan 132kV) bagi membolehkan pengambilan tenaga yang lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang untuk memenuhi keperluan pengeluaran.

Menyedari hakikat akan pertambahan permintaan tenaga di KHTP, NUR mengambil langkah proaktif melalui pelaburan bersasar dan berteknologi tinggi. NUR turut menjangkakan permintaan elektrik akan mencapai 612MW menjelang akhir tahun 2033 dengan pertumbuhan pesat KHTP, khususnya KHTP Fasa 4 dan tidak lama lagi Fasa 4A (kawasan pembangunan semasa). Sehingga kini, NUR telah melaksanakan pelaburan untuk pelbagai prasarana bagi memenuhi permintaan ini termasuk melalui jana kuasa turbin gas kitaran gabungan 130 MW yang dijangka siap pada tahun 2025, dan ladang utiliti solar Fasa 1 dan Fasa 2 yang akan menjana kuasa berjumlah 100MW yang dijangka masing-masing siap pada tahun 2025 dan 2027.

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah turut menzahirkan mengucapkan syabas kepada Pengurusan NUR Power yang telah menjayakan inisiatif ini dalam waktu yang singkat untuk menampung keperluan tenaga selaras dengan pembangunan yang pesat di KHTP. Komitmen dan kepakaran NUR Power seharusnya menjadi contoh bagi syarikat utiliti tenaga lain di dalam menjayakan kepercayaan dan mandat yang telah diberikan oleh Kerajaan. Pada majlis yang sama, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah turut menyaksikan upacara pertukaran dokumen perjanjian antara NUR dan UEM Lestra Berhad (UEM Lestra), sebuah anak syarikat milik penuh dan sayap industri hijau UEM Group Berhad (UEM Group), di mana UEM Lestra mengambilalih sehingga 51% kepentingan dalam NUR.

Harman Faiz Habib Muhamad, Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra berkata penglibatan strategik UEM Lestra selaku syarikat berkaitan Kerajaan menerusi pegangan majoriti ini dibuat bersandarkan kepada potensi penciptaan nilai ketara dan keupayaan operasi NUR yang boleh dikembangkan di masa hadapan.

“Pemilikan kepentingan majoriti dalam NUR ini merupakan sebahagian daripada komitmen RM1.5 bilion yang diperuntukkan UEM Lestra untuk dilaburkan dalam tempoh 24 bulan ke hadapan ke arah dekarbonisasi taman industri di Malaysia. Komitmen ini merupakan salah satu usaha UEM Group bagi merancakkan pelaburan tempatan yang akan menjana peluang pekerjaan di samping menarik lebih banyak pelaburan asing ke negara kita.”

“UEM Lestra berhasrat untuk terus menambahbaik keupayaan dan mengembangkan lagi operasi syarikat tempatan seperti NUR serta bersama mereka dalam merintis jalan ke arah usaha yang lebih menyeluruh menyeluruh bagi memacu dekarbonisasi taman industri bermula di KHTP sebelum dikembangkan ke taman industri lain di Malaysia,” tambah Harman Faiz.

Pengarah Urusan N.U.R Power Sdn Bhd, Ikwan Hafiz bin Jamaludin, menegaskan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi NUR dalam menyediakan kuasa elektrik yang berkualiti tinggi, voltan yang stabil, dan boleh dipercayai. Model penjanaan teragih NUR telah terbukti berjaya menarik pelaburan melebihi RM176.7 bilion di KHTP. NUR komited untuk terus mengembangkan kapasiti penjanaan untuk memenuhi permintaan elektrik di KHTP. Ini bagi memastikan kualiti kuasa dikekalkan mengikut piawaian MS 61000-4-34 seperti yang diminta oleh pelanggan terutamanya di dalam industri berteknologi tinggi.

FADILLAH YUSOF SEMPURNAKAN MAJLIS PELANCARAN STESEN JANA KUASA TURBIN GAS Back to Media Centre